BERITA HARIAN
SINGAPURA
Ekstra! : 16 Ogos 2008
DUNIA SASTERATERBIT NOVEL DI M'SIA
Suri rumah mahu karyanya dinikmati khalayak yang lebih ramai
OlehIsmail Wardi
TUGAS hariannya sebagai suri rumah sepenuh masa bukan penghalang untuk beliau cergas berkarya.
Bermula dengan menghasilkan sajak dan cerpen yang disiarkan di Berita Minggu sekitar tahun 1980-an dahulu, beliau seterusnya mengorak langkah menghasilkan novel.
Bukan satu malah tiga novelnya telah diterbitkan sepanjang tiga tahun lalu.
Novel pertamanya, Takdir, memenangi Anugerah Penghargaan dalam Sayembara Novel Watan 2 pada 2004.
Novelis wanita Singapura yang saya maksudkan ialah Norisah A. Bakar; nama yang kurang mendapat perhatian ramai sejauh ini.
Bekas penuntut Sekolah Menengah Telok Kurau itu seterusnya menghasilkan novel susulan iaitu Rinduku Di Angin Lalu (terbit pada 2005) dan Hati Seorang Wanita (2007). Kedua-duanya diterbitkan di Malaysia oleh Creative Enterprise Sdn Bhd.
Ditanya bagaimana beliau membahagikan masa untuk keluarga dan menulis, Norisah, 40-an tahun, berkata:
'Disiplin diri perlu ada pada setiap penulis. Misalnya, saya mesti pastikan yang saya menulis setiap hari tanpa bertangguh.
'Saya menulis lebih kurang dua jam selepas solat subuh dan menyediakan sarapan untuk keluarga. Jika ada kelapangan pada sebelah petang, saya sambung berkarya.
'Semasa mula-mula menulis, anak-anak memanglah kurang faham dengan apa yang saya buat. Tetapi kemudian mereka beransur mengerti. Suami saya juga faham dan berikan sokongan sewajarnya.'
Norisah mula berkarya pada 1987. Walaupun sehingga kini beliau kurang dikenali di Singapura, itu bukanlah matlamatnya ketika mula menulis.
'Pada saya, biar orang tak kenal saya, asal mereka kenal dengan karya saya. Saya akan berasa puas jika karya saya diterima dengan baik,' ujar Norisah merendah diri.
'Di Malaysia, orang memperkatakan buku-buku saya menerusi blog-blog mereka. Padahal tak semua yang kenal saya. Saya ikuti perkembangan buku-buku saya itu menerusi laman web mereka.'
Norisah lebih gemar menulis kisah-kisah bertemakan keluarga, persahabatan, kasih sayang, juga cinta kerana menurutnya kebanyakan pembaca muda dan lebih-lebih lagi wanita, gemarkan tema-tema seperti itu. Penulis perlu tahu selera dan kehendak pembaca, tambahnya.
Menjawab pertanyaan mengapa beliau lebih suka karyanya diterbitkan di Malaysia daripada di Singapura, Norisah berkata:
'Saya mahukan khalayak pembaca yang ramai. Di sana, bukubuku saya boleh pergi jauh, sehingga ada yang menyangka saya ini penulis dari Malaysia.'
Menyentuh tentang apa yang perlu dilakukan untuk menarik minat masyarakat Melayu di sini membeli dan membaca karya penulis tempatan, Norisah dengan bersemangat berkata:
'Kita sebenarnya ada ramai penulis berbakat. Adakan usaha memperkenalkan karya mereka kepada ramai. Ulas karya-karya mereka sama ada di akhbar, radio ataupun televisyen atau pada majlis-majlis sastera. Perbanyakkan promosi semasa pesta buku, umpamanya.
'Atau penulis perlu adakan blog sendiri untuk memperkenalkan karya mereka sehinggalah sampai ke satu tahap di mana pembaca tidak berfikir dua kali untuk membeli dan membaca buku penulis ini.
'Ia juga sebagai sokongan yang akan meningkatkan semangat penulis untuk berkarya dan menghasilkan yang lebih baik pada masa depan.
'Tetapi saya dapati pembaca di sini lebih suka meminjam buku di perpustakaan daripada membeli buat koleksi peribadi.'
Bagi Norisah, selagi terdaya dan ada sokongan berterusan daripada keluarga dan peminat, beliau akan terus menulis.
Tahniah Norisah...